TiMe ZoNe

25 January 2016

Cahaya Suci Dari Noda

Suasana bising dan gamat mula menyelubungi ruang tamu rumah keluarga Mak Chik Hasnah. Kehadiran abang Puan Hasnah iaitu Pak Chik Zulkifli atau lebih dikenali dengan panggilan Zul Cari Jodoh mengamatkan lagi suasana malam itu. Pak Chik Zul amat arif dalam mencari jodoh untuk pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Kebanyakan pasangan yang dipadankannya sangat sesuai ibarat kata pepatah "Bagai Pinang Dibelah Dua".

"Hasnah!, abang long ada calon sesuai dengan anak kamu si Ziha tu. Budaknya pun baik, hormat orang tua, boleh la abang long bawa dia kenalkan dengan anak dara kamu tuh," ujar Pak Chik Zul iaitu Pak Long kepada Ziha.

"Ya ka bang long, Nah pun tak dapat nak bagi apa-apa keputusan. Nak kena tanya tuan punya badan juga," balas Mak Chik Hasnah.

"Ok lah kalau macam tu. Nanti kamu tanyalah Ziha tuh. Kalau dia setuju abang long boleh terus berbincang dengan pihak sana," ujar Pak Chik Zul.

"Baiklah abang long, nanti apa-apa Nah bagitahu abang. Eh jemputlah minum semua," undang Mak Chik Hasnah kepada abangnya serta tetamu yang datang ke rumahnya. Ziha tidak mengetahui akan rancangan ini kerana dia berada di dalam bilik ketika itu. Ziha lebih suka berdiam diri daripada bercampur gaul dengan orang ramai. Sikapnya yang beginilah menyebabkan dia sukar bertemu jodoh.

"Ziha, ke sini kejap, mak ada hal sikit nak bincang dengan kamu," panggil Mak Chik Hasnah.

"Ya mak! Ada hal apa tu mak?" soal Ziha. Dia terus duduk di samping ibunya sambil merapatkan badanya ke bahu ibunya yang tengah melipat kain di ruang tamu. Ziha ini sangat manja orangnya. Dulu sewaktu arwah bapanya masih ada, dia selalu bermanja dengan ayahnya tapi kini ibunya pula menjadi tempat dirinya untuk bermanja kasih.

"Tak da lah, mak tengok kamu tuh dah besar panjang, dah boleh kahwin dah pun. Hari tuh Pak Long kamu cakap dia ada sorang calon yang sesuai untuk kamu. Kamu ok ke?" tanya ibu Ziha. Kelihatan Ziha mula terpinga-pinga dengan soalan ibunya tadi. Dia mula membuat muka selepas mendengar soalan ibunya tadi.

"Mak, apa ni? Ziha belum ready nak kahwin la. Ziha kan muda lagi," balas Ziha. Ziha baru sahaja berusia dua puluh tiga tahun dan ibunya pula mahu Ziha berkahwin. Ziha merasa tidak senang dengan pertanyaan ibunya itu tadi.

"Mak bukan apa Ziha, mak ni makin lama makin tua, takut nanti tak sempat nak tengok cucu," ujar ibu dengan wajah yang suram. Kata-kata ibu tadi sedikit sebanyak membuatkan Ziha berasa serba salah.  Ziha tidak mahu ibunya berkecil hati jika dia menolak permintaan ibunya itu.

"Mak, bagi masa untuk Ziha fikir dulu boleh tak?" pinta Ziha. Ziha terus berlalu pergi meninggalkan ibunya keseorangan di ruang tamu. Mak Chik Hasnah tahu akan ragam anaknya itu. Kalau Ziha ingin buat sesuatu keputusan, dia akan menyepikan diri dari ibunya buat seketika dan dia sangat yakin akan keputusan yang dibuat oleh anak tunggalnya itu satu keputusan yang terbaik.

Setelah beberapa hari Ziha berfikir, akhirnya dia akur dengan permintaan ibunya. Dia bersetuju untuk dijodohkan dengan lelaki yang menjadi pilihan Pak Longnya itu. Pertemuan diantara Ziha dan bakal suaminya itu diserahkan sepenuhnya kepada ibu dan Pak Longnya.  

"Ha Hasnah, ni lah bakal menantu kamu tuh. Nama dia Zairul, dia ni Engineer kat syarikat besar Gamuda tuh. Ala company yang dok buat MRT tuh," ujar Pak Chik Zul. Zairul pula mula tersipu-sipu malu setelah diperkenalkan kepada bakal ibu mertuanya.

"Amboi segaknya bakal menantu Mak Chik ni. Kejap ya Mak Chik panggil anak Mak Chik ya," balas Hasnah. Dia meninggalkan abangnya dan Zairul di ruang tamu dan berlalu pergi mendapatkan Ziha.

"Ziha, kamu dah siap ke? Jodoh kamu dah tunggu kat luar tuh," panggil Mak Chik Hasnah

"Dah mak, tapi Ziha segan la mak, Ziha tak kenal dia," jawab Ziha.

"Ish kamu ni janganlah macam tu, tak kenal maka tak cinta," usik Mak Chik Hasnah. Terus dia menarik tangan anaknya itu dan dibawa ke ruang tamu.

"Zairul, ni la anak dara Mak Chik. Namanya Ziha. Harap kamu sudi lah kenal dengan dia," ujar Mak Chik Hasnah. Buat pertama kalinya mereka bertemu. Zairul memerhati Ziha dengan penuh kusyuk tanpa berkelip mata sedikitpun, seolah-olah dia sedang melihat seorang bidadari yang amat cantik dihadapannnya.

"Hai, saya Zairul, bakal suami awak," sapa Zairul sambil tersenyum sipu. Ziha menjadi malu dengan sapaan Zairul tadi.

"Ermm..saya Ziha, bakal isteri awak," balas Ziha sambil menghulurkan tangan kepada Zairul untuk bersalaman tapi sayang tanganya ditepis oleh Mak Chik Hasnah.

"Eh-eh, apa salam-salam ni. Kamu belum kahwin lagi tak boleh nak salam-salam. Bukan muhrim ni," tegur Mak Chik Hasnah. Ziha dan Zairul tersipu malu dengan teguran Mak Chik Hasnah tadi.

"Zairul, Abang Long duduk dulu ya. Saya dengan Ziha nak ke dapur kejap nak hidangkan makanan tengahari. Boleh la kita makan sekali," ujar Mak Chik Hasnah. Lalu ditarik tangan Ziha ke dapur untuk menolongnya. Ziha sempat menoleh ke belakang untuk memandang wajah Zairul sambil tersenyum.

"Alahai hensemnya awak," ujar Ziha.

"Mak tengok Zairul tuh baik kan orangnya, berbudi bahasa, hensem pulak tuh," ujar Mak Chik Hasnah. Ziha seolah-olah tidak mendengar apa yang diluahkan ibunya malah dia kelihatan seperti sedang  berangan-angan.
Ziha! Kamu berangan?, " tegur Mak Chik Hasnah.

"Hah!"

Terpinga-pinga Ziha tatkala mendengar suara ibunya yang agak keras. Terus dia berhenti berangan. Ziha tidak menyangka Zairul seorang yang segak dan berbadan sasa. Sudah menjadi minatnya kepada lelaki yang berbadan sasa ni. Baginya lelaki yang berbadan sasa ni seorang yang penyayang dan seksi.

"Abang Long, Aiman jom ke dapur. Makanan tengahari dah sedia tuh nanti sejuk pulak," jemput Mak Chik Hasnah. Terus mereka menuju ke meja makan sambil memerhatikan gelagat Ziha yang sedang meletakkan nasi di dalam pinggan. Zairul terus terpikat dengan sikap Ziha dan merasakan Ziha adalah jodoh yang terbaik buatnya.

Hampir seharian Zairul menghabiskan masanya bersama Ziha dan Mak Chik Hasnah. Pelbagai persoalan dilontarkan Mak Chik Hasnah kepada Zairul. Walaupun Mak Chik Hasnah seperti penyiasat polis yang tegas tapi Zairul tahu akan hati bakal ibu mertuanya itu. Iyalah bukan senang nak lepaskan anak perempuannya ke tangan orang lain tambah-tambah anak tunggal seperti Ziha.

Selepas pertemuan pertama mereka, Ziha dan Zairul sering keluar bersama untuk mengenali hati budi masing-masing sehinggakan mereka bersetuju untuk terus mendirikan rumah tangga. Ibu Ziha mahu mereka terus berkahwin tanpa bertunang terlebih dahulu. Dengan hanya dalam tempoh tiga bulan mereka mengenali hati budi masing akhirnya Ziha dan Zairul selamat dijabkabulkan.

Setelah mendirikan rumah tangga, Ziha terpaksa tinggal berasingan dari ibunya. Mak Chik Hasnah kini tinggal bersendirian di kampung manakala Ziha terpaksa mengikut Zairul menetap di Kuala Lumpur di mana berdekatan dengan tempat suaminya bekerja. Namun begitu, Ziha tidak pernah lupa akan ibunya dan hampir setiap hari dia akan menghubungi ibunya untuk bertanya khabar.

Ziha berasa sangat bahagia dan gembira sewaktu berada di samping Zairul. Ternyata Zairul seorang yang sangat romantik dan penyayang. Apa sahaja kehendak Ziha pasti ditunaikan Zairul. Begitu jugak sebaliknya, Ziha tidak pernah alpa dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Makan dan pakaian Zairul dijaga rapi membuatkan kasih sayang Zairul terhadap Ziha tidak berubah walau sedikitpun. Walau bagaimanapun, keindahan yang dirasa itu tidak kekal lama.

Hampir sebelas bulan Ziha dan Zairul mendirikan rumah tangga tapi mereka masih lagi belum dikurniakan cahaya mata. Ibu mertua Ziha, Datin Aqeela mula bertanya tentang cucu mereka. Pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Ziha sedangkan mereka sudah mencuba tapi apakan daya masih belum ada rezeki. Ziha hanya mampu menitiskan air mata setiap kali ditanyakan soalan yang sama oleh mertuanya itu.

Zairul pula semakin hari semakin mula berubah sikap. Dulunya yang romantis dan penyayang kini mula menjadi bengis. Kadangkala dia tidak pernah pulang  ke rumah. Apabila setiap kali Ziha menyoal ada saja benda yang tidak kena. Ziha mula merasa aneh akan perubahan sikap suaminya itu. Ziha memendam masalah ini daripada pengetahuan ibunya sebaliknya dia hanya berkongsi masalah peribadinya dengan sahabat baiknya Syafiqah. Mereka berkenalan semenjak sama-sama belajar di UiTM dulu.

"Ika, aku tak tahulah macam mana lagi dengan rumah tangga aku ni. Zairul sekarang dah mula tak balik rumah, bila aku tanya mulah dia naik angin," ujar Ziha. Ziha sering mengajak Syafiqah untuk keluar bersama-sama untuk dia meluahkan perasaan sedihnya itu.

"Zairul tak pernah balik langsung ke?" soal Ika.

"Bukan tak penah balik langsung, dia balik cuma sekejap jer pastu keluar balik then terus tak balik-balik. Aku rasa macam ada sesuatu jer dengan perangai dia ni. Aku isteri dia ni pun dia dah malas nak layan Ika," jawab Ziha.
"Aku rasa better kau pergi siasat suami kau tuh takut-takut dia ada perempuan lain jer. Maklumlah laki kau tuh kan hot, tough  pulak tuh. Perempuan mana yang tak tergoda cik akak sorang oi," ujar Ika.

Pilu rasa seorang isteri dikala sang suami mula menjauhkan diri. Seribu satu persoalan mula bermain di minda seorang isteri yang sentiasa sayang dan mencintai suaminya. Khabar berita tidak dikirim, nafkah zahir juga tidak diberi. Apakah si suami sudah tawar hati atau benar-benar ada wanita lain dalam hidupnya??

"Apa salah aku ea? Kenapa abang tak balik-balik lagi? " rungut  si Ziha tatkala memikirkan tentang suaminya.  Hampir sebulan Zairul mendiamkan diri dari Ziha. Ziha pernah menghubungi suaminya tapi  gagal kerana panggilannya tak pernah berjawab.

"Ziha!"

"Ya mak", sahut Ziha.

"Kenapa mak?" tanya Ziha.

"Tak da apa cuma mak rasa peliklah. Dah sebulan mak kat sini tapi tak pernah nampak Zairul. Outstation apa yang lama sangat?" ujar Mak Chik Hasnah. Pertanyaan ibunya tadi membuatkan Ziha menjadi serba salah. Apakah Ziha perlu jujur tentang masalah rumah tangganya kepada ibunya?

"Oh, abang Zairul cakap dia kena pergi kursus pula dekat UK. Nanti dia akan balik bila semua dah settle," jawab si Ziha. Dia terpaksa berbohong kerna dia tidak mahu ibunya risau tentang masalah peribadinya.
Sewaktu sedang asyik berbual dengan ibunya, Ziha terdengar telefonya bimbitnya berdering. Ziha terus melulu pergi mendapatkan telefon bimbitnya.  Ziha merasa aneh kerana nombor sahaja yang terpapar pada skrin telefon bimbitnya walaupun begitu dia tetap menjawab panggilan tersebut.

"Hello..siapa ni?" tanya Ziha.

"Ni saya Zairul. Saya cuma nak bagitahu awak yang saya tak kan balik lagi ke rumah dan saya dah tak boleh nak bersama awak lagi. Saya mahu kita berpisah,ujar Zairul. Alangkah terkejutnya Ziha sewaktu mendengar apa yang diungkapkan oleh Zairul sebentar tadi. Hatinya mula terasa remuk dengan permintaan Zairul tadi.

"Astagfirullahhalazim..apa abang cakap ni? Kalau ya pon balik la rumah dulu,balas Ziha sambil air matanya mula mengalir di pipi. Tiba-tiba panggilan tadi dimatikan Zairul. Rasa di hati mahu menangis sekuat hati tapi Ziha tidak mahu ibunya tahu tentang hal ini. Air mata tadi dikesatkan dan biarlah masalah ini terbuku di hati Ziha.

Ziha dengan tiba-tiba merasa pening. Pengelihatannya menjadi kabur. Terus Ziha menjerit memanggil ibunya sebelum dia jatuh pengsan.

Ziha mula sedar dari pengsan. Badannya terasa amat lemah. Ternyata Ziha berada di hospital. Dilihat satu pek darah tergantung di tepi katil dan dimasukkan ke dalam badannya. Ziha menjadi bingung dengan apa yang berlaku kerana kepalanya masih lagi berasa pening. Kelihatan ibunya masuk ke dalam wad dan menyapa Ziha.

"Kamu dah sedar Ziha? Seharian kamu pengsan,ujar mak Chik Hasnah

"Apa yang berlaku mak?" soal Ziha

"Semalam kamu jerit panggil mak, bila mak datang dekat kamu tengok kamu dah pengsan. Sebab tulah mak bawa kamu ke hospital tapi.." Perbualan ibumya tiba-tiba tergantung seolah-olah ibunya cuba menyembunyikan sesuatu.
"Tapi apa mak? Cakaplah! " desak Ziha

"Tak ada apa-apa sayang cuma kamu penat sebab tu kamu pengsan", jawab ibu. Niat Mak Chik Hasnah untuk menyembunyikan sakit Ziha merupakan satu keputusan yang sangat sukar. Si ibu sangat sayang akan anak tunggalnya itu. Itu saja hartanya yang paling berharga selepas kematian suaminya kira-kira lima tahun dahulu. Masih terngiang-ngiang di telinga ibunya sewaktu doktor memberitahu yang Ziha menghidap penyakit luekimia. Rasa hancur luluh hati seorang ibu selepas mengetahui anak yang ditatang bagai minyak yang penuh ini sakit dan terpaksa melalui detik sukar sepanjang hidupnya.

"Kamu nak mak telefon Zairul ke bagitahu yang kamu masuk hospital?" tanya Mak Chik Hasnah.

"Tak payahlah mak, Ziha tak nak abang Zairul risau," jawab Ziha walaupun dia tahu yang Zairul memang tidak akan ambil kisah dengan apa yang berlaku.

"Baiklah nak. Kamu berehatlah dan jangan lupa makan ubat tu. Mak nak ke tandas sekejap. Nanti mak datang balik ya," ujar ibu.

"Baiklah mak"

Selepas ibu beransur pergi Ziha mula menangis sekuat hati. Dayanya tidak lagi kuat untuk menyembunyikan rasa sedih dalam dirinya. Dia bingung apakah dia harus berterus terang kepada ibunya atau terus menyembunyikan duka ini dihatinya.

"Cik Naziha?" panggil Jururawat.

"Ya saya," sahut Ziha sewaktu mendengar namanya dipanggil. Air mata yang mengalir di pipi dengan segera dikesatkan.

"Cik dah makan ubat?" tanya Jururawat.

"Dah nurse. Saya dah makan ubat tapi sebenarnya apa sakit saya nurse,soal Ziha.

"Sebenarnya awak.."

Tiba-tiba ibunya masuk ke dalam bilik dan menyampuk perbualan diantara Jururawat dan Ziha. Dek kerana dia tidak mahu anaknya mengetahu perkara sebenar tentang penyakitnya.

"Ziha, kan mak dah cakap Ziha tak ada apa-apa cuma Ziha letih kan." ujar Mak Chik Hasnah sambil bermain isyarat mata dengan Jururawat tersebut untuk mengarahkannya keluar meninggalkan mereka dua beranak. Jururawat tadi faham akan maksud ibunya Ziha tadi dan segera meninggalkan mereka berdua.

"Ziha janganlah risau lagi ya nak, nanti dah makan ubat sembuhlah ni. Mak nak anak mak yang cantik cepat sembuh tau"

"Baiklah mak"

"Zai you dah call Ziha?" tanya Datin Aqeela kepada anak lelaki kesayanganya itu.

"Dah mommy, tapi dia nak ajak jumpa. Dia nak ajak berbincang mom," jawab Zairul.

"Nak bincang apa lagi? Orang dah tak suka apa yang dia nak lagi? Duit? Mommy boleh kasi. Asalkan dia setuju dengan pemintaan anak mommy ni"

"Baiklah mommy, nanti Zai cakap dengan dia"

"Masuk Ziha, hati-hati yer kamu tu masih lemah lagi"

Ziha dibenarkan pulang ke rumah selepas seminggu dia dirawat di hospital. Ziha terus menuju ke kamatnya untuk merehatkan diri. Ibunya pula terus ke dapur bagi menyediakan sup ayam untuk Ziha.

Sewaktu sedang baring merehatkan diri, tiba-tiba telefon bimbit Ziha berdering setelah sekian lama sepi. Ziha lantas mendapatkan telefon bimbitnya walaupun dia masih dalam keadaan lemah dan terus menjawab panggilan tersebut.

"Hello," jawab Ziha.

"Hah jawab pun! Aku ingat kau dah mati. Awak pergi mana? Saya kol berkali-kali tak penahnya nak berjawab," tengking Zairul dengan nada suara yang bengis. Ziha terus terkedu akibat ditengking suaminya itu.

"Astagfirullahalazim abang, kenapa ni nak marah-marah macam ni. Bawa mengucap bang. Saya bukan sengaja tak nak jawab panggilan abang. Saya.."

"Dah awak jangan nak bagi macam-macam alasan lagi. Saya tak dengar apa-apa lag," celah Zairul. Ziha belum sempat memberitahu hal yang sebenar kepada Zairul tapi Zairul dengan pantas mencelah.

"Saya nak kita berpisah. Mommy saya sanggup kasi berapa jer yang awak nak, asalkan kita berpisah!" ujar Zairul.

"Abang sedar tak apa yang cakap ni? Kenapa abang buat saya macam ni? Apa salah saya?" tangis Zih. Ziha berasa terkejut dan sangat kesal dengan permintaan Zairul. Ziha sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi.

"Dah! awak jangan nak berdrama dengan saya. Tunggu surat cerai dari saya!"

Terus Zairul mematikan panggilannya. Ziha terus tergamam dan mula menitiskan air mata tetapi dia dengan pantas mengesatkan kembali air matanya kerna takut akan perkara ini diketahui ibunya. Ziha masih lagi mahu merahsiakan perkara ini daripada ibunya.

Selepas beberapa hari berehat di rumah, Ziha mula merasakan dirinya semakin pulih. Dia mula keluar dari rumah untuk menikmati udara segar di luar. Ziha menjalani kehidupannya seperti biasa walaupun masalah peribadinya sering mengganggu fikiran. Ziha tetap berusaha menjejaki Zairul. Dia mahu berjumpa suaminya untuk menyelesaikan segala kerumitan yang berlaku.

Sewaktu sedang berjalan di dalam sebuah mall, Ziha terlihat akan kelibat suaminya Zairul dengan seorang lelaki di dalam sebuah kafe. Ziha merasa pelik kerana dia belum pernah bertemu dengan lelaki tersebut. Selalunya Zairul akan memperkenalkan rakannya kepada Ziha tetapi bukan lelaki ini. Ziha mengekori rapat suaminya tetapi alangkah terkejutnya Ziha melihat kelakuan aneh suaminya.

"Ya Allah, suami aku GAY??" teriak Ziha di dalam hati. Dia terlihat kelakuan suaminya yang sangat mesra denga lelaki tersebut sampaikan makanan pun hendak di suapkan ke dalam mulut lelaki tersebut sambil berkongsi minuman dan berpengangan tangan. Rasa jijik mula bermain di fikiran Ziha. Dia tidak menyangka lelaki yang dicintainya sepenuh hati mengamalkan nafsu sonsang.

"Patutlah dia nak berpisah, rupanya ada lelaki lain! Tapi kenapa LELAKI??" dengus Ziha di dalam hati. Dia berfikir suaminya curang dengan wanita tetapi sangkaannya salah.

Ziha terus melangkah pergi daripada melihat perbuatan terkutuk suaminya itu. Sambil dia melangkah pergi, air matanya mula mengalir di pipi seakan-akan dia tidak dapat menerima kenyataan apa yang berlaku tadi. Setibanya dia di rumah, Ziha terus melulu masuk ke dalam bilik. Dia terus menyelongkar semua barang milik suaminya untuk mencari segala bukti tentang sikap sebenar kelakuan suaminya itu. Ibunya pula aneh melihat gelagat anaknya itu.
"Ziha? Boleh mak masuk sekejap?" soal Mak Chik Hasnah.

"Sekejap yer mak." jawab Ziha. Dengan pantas dia mengemas kembali laci yang telah diselongkarnya tadi dan terus membuka pintu bilik.

"Ada apa mak?" tanya Ziha.

"Kenapa dengan kamu ni? Mak tengok tadi bukan main laju lagi kamu masuk bilik sampaikan mak panggil pun kamu tak dengar"

"Ermm..tak ada apalah mak, Ziha nak telan ubat sebab lupa nak makan tadi," balas Ziha. Sekali lagi dia terpaksa membohongi ibunya namun ibunya dapat merasakan yang anaknya sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.

"Ziha, apa ni? kenapa kamu tak pernah cerita dekat mak yang kamu tu ada masalah dengan suami kamu? Kenapa kamu nak menipu mak?" tanya ibu sambil menunjukkan surat daripada Pejabat Peguam Syariah mengenai fail penceraian dari Zairul.

"Hah!"

Alangkah terkejutnya Ziha sewaktu melihat ibunya menunjukkan surat penceraian dari Zairul. Terus Ziha memeluk ibunya sambil menitiskan air mata. Bukan niat Ziha untuk menyembunyikan masalah rumanh tangganya daripada pengetahuan mak Chik Hasnah tetapi dia tidak mahu ibunya risau dan sedih.

"Mak, Ziha minta maaf mak, Ziha tak berniat nak tipu mak. Ziha pun tak sangka hubungan kami akan berakhir macam ni mak," ujar Ziha sambil menangis teresak-esak. Ziha terus menceritakan masalah sebenar kepada ibunya dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi. Mak Chik Hasnah tidak menyangka sikap sebenar menantunya itu.
"Sabarlah Ziha, salah mak jugak. Mak yang nak kamu kahwin cepat. Tengoklah apa yang jadi dengan kamu kamu sekarang ni"

"Tak apa lah mak, bukan salah mak pun. Dah takdir Ziha macam ni apa Ziha boleh buat lagi," ujar Ziha.

Setelah berbincang dengan ibunya, Ziha akhirnya akur dengan permintaan Zairul. Ziha terpaksa menerima hakikat yang dia terpaksa berpisah dengan suaminya itu. Daripada rumah tangganya terus bergolak dan menuju jalan buntu, lebih baik dia berpisah dengan suaminya itu demi kepuasan hati kedua-dua pihak.

Pagi-pagi lagi sudah kelihatan kelibat Ziha dan ibunya terpacak di hadapan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi meneruskan proses penceraian Ziha dan suaminya. Mereka hadir ke mahkamah selepas mendapat surat kedua daripada Peguam Zairul. Sewaktu melangkah masuk ke dalam dewan, Ziha terlihat akan suaminya Zairul duduk bersama ibu mertuanya, Datin Aqeela. Mereka berdua memandangnya dengan penuh sinis  seolah-olah rasa tidak berpuas hati sedangkan Ziha tidak melakukan apa-apa kesalahan. Maka bermulalah sidang perbicaraan tentang penceraian mereka. Hujah demi hujah dilontarkan akhirnya mahkamah memberi kata putus untuk Zairul menceraikan Ziha.

"Saya menceraikan isteri saya Nur Naziha binti Ahmad Safian dengan talak satu, " lafaz Zairul dihadapan Hakim Mahkamah Syariah. Ziha yang mendengar lafaz tersebut terus menangis teresak-esak walaupun ini keputusan yang oleh dicapai kedua-dua pihak namun jauh di sudut hati dia masih sayang akan Zairul walaupun Zairul tidak lagi menyintai wanita sepertinya. Apakan daya takdir menguasai segala-galanya.

Segala-galanya kini sudah berakhir, Zairul dan Datin Aqeela terus beransur pergi tanpa bertemu dengan Ziha. Bagi mereka penceraian ini penamat segala-galanya. Ziha dengan wajah yang pilu dipimpin tangan oleh ibunya keluar dari perkarangan mahkamah. Tiba-tiba badan Ziha menjadi lemah dan tidak bermaya lalu dia terus jatuh pengsan. Dia terus dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Ibunya tidak menyangka penyakit luekimia yang dihidapi Ziha mula menular dengan pantas. Kini Ziha berada dalam keadaan koma.

Hampir dua miggu Ziha berada di dalam wad ICU. Dia masih belum sedar daripada koma. Keadaanya semakin hari semakin lemah. Sel darah putih di dalam badanya semakin meningkat dan terus menyerang organ dalaman yang lain. Dengupan jantungnya pula semakin rendah. Doktor yang merawatnya sudah tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Kini Ziha hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan untuk membantunya agar terus hidup.

"Puan Hasnah? Boleh saya bercakap dengan puan sebentar?" panggil Doktor Aril, doktor yang merawat Ziha selama ini.

"Ya doktor. Baiklah," jawab ibu Ziha.

"Puan, kami lihat keadaan anak puan semakin hari semakin lemah. Kami dah cuba untuk memberi rawatan lanjut kepada anak puan tapi reaksi yang ditunjukkannya amat negatif. Sekarang ni pun anak puan terpaksa bergantung pada alat bantuan penafasan untuk hidup," ujar Doktor Aril.

"Saya tak faham. Apa maksud doktor?" tanya Mak Chik Hasnah.

"Maksud saya puan, daripada kita menyeksa dia lebih baik kita lepaskan saja dia "pergi" dengan aman. Itu pun kalau puan bersetuju untuk kami menghentikan alat bantuan pernafasan yang digunakan oleh cik Naziha sekarang ni," jawab Doktor Aril. Mak Chik Hasnah tergamam mendengar apa yang diungkapkan oleh Doktor Aril sebentar tadi lalu dengan tidak semena-mena air matanya mula mengalir laju tatkala memikirkan tentang kesakitan yang ditangung oleh anaknya itu.

"Doktor, boleh tak kita tunggu beberapa hari lagi? Saya tak sanggup kehilangan satu-satunya anak saya ni doktor. Mana tahu mungkin ada keajaiban berlaku. Boleh kan doktor?" rayu Mak Chik Hasnah.

"Baiklah puan, kami akan pantau keadaan dia dalam masa dua atau tiga hari lagi dan saya percaya puan dapat buat keputusan yang terbaik," balas Doktor Aril. Mak Chik Hasnah mengangguk tanda faham dan dia terus bangun dan menuju keluar untuk melihat keadaan anaknya. Walaupun keadaan Ziha ibarat nyawa-nyawa ikan, Mak Chik Hasnah terus berharap anak tunggalnya itu sembuh sepenuhnya.

Sepanjang tiga hari Doktor Aril memantau keadaan Ziha, keadaannya masih sama malah lebih teruk. Mak Chik Hasnah terpaksa akur akan cadangan Doktor Aril dan bersetuju untuk mematikan alat bantuan pernafasan yang digunakan Ziha. Dia redha anak tunggalnya menghadap Illahi daripada terus menanggung seksa. Akhirnya, selang lima minit selepas alat bantuan pernafasan ditanggalkan, Ziha dengan pelahan-lahan menghembus nafasnya yang terakhir disaksikan sendiri oleh ibunya serta sanak saudara yang lain. Air mata ini bercucuran mengalir ke pipi di saat perginya Ziha menghadap Illahi.

Jenazah Ziha selamat dikebumikan di tempat yang sama dengan arwah bapanya. Arwah bapa Ziha meninggal dunia kira-kira lima tahun yang lalu akibat barah hati. Mak Chik Hasnah pula terpaksa menerima hakikat bahawa dia kehilangan kedua-dua orang yang dia sayang dengan lebih awal.

"Nak, semoga kamu tenang di sana ya. Nanti mak datang cari kamu dengan ayah kamu," tangis Mak Chik Hasnah sewaktu memegang erat batu nisan anak tunggal kesayangannya itu. Ajal dan maut di tangan Tuhan. Berharaplah sebesar mana sekalipun jika sudah ditakdirkan Illahi, maka kita insan yang lemah ini terpaksa akur dengan ketentuanNya.

Selang beberapa bulan selepas itu, perbuatan terkutuk Zairul disedari oleh ibunya sendri. Dia terkantoi sewaktu sedang memadu asmara dengan seorang lelaki di rumahnya sendiri. Demi menjaga maruah kekuarga, dia telah diusir keluar oleh bapanya, Datuk Zamri. Begitulah ibarat pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Datin Aqeela merasa amat malu dengan perbuatan terkutuk anaknya yang ditatang bagai minyak yang penuh itu. Dia juga turut menyesal akan segala tindak-tanduknya yang jahat selama ini.

"Assalammualaikum!"

"Waalaikummussalam", jawab Mak Chik Hasnah. Alangkah terkejutnya dia sewaktu membuka pintu rumahya dan terlihat akan wajah Datin Aqeela berdiri di hadapan pintu rumah rumahya. Kelihatan juga sebuah kereta BMW bersama pemandu berada di halaman rumah.

"Hasnah, saya datang ni sebab saya nak minta maaf banyak-banyak dengan kamu. Saya tahu saya jahat, saya yang suruh anak saya ceraikan Ziha. Saya minta maaf sangat-sangat, saya tahu saya banyak buat salah dengan kamu dua beranak. Mana Ziha? Saya nak jumpa dia, saya nak sujud kaki dia nak minta maaf," rayu Datin Aqeela. Mak Chik Hasnah hanya tergamam melihat tindakan Datin Aqeela. Berat mulut Mak Chik Hasnah untuk menyampaikan hal yang sebenar kepadanya.

"Datin, sudah la jangan macam ni. Kami dah lama maafkan Datin. Ziha sebenarnya.."

"Ziha ke mana? Kenapa dengan dia?" celah Datin Aqeela.

"Ziha dah lima bulan dah tak ada Datin. Dia dah meninggal dunia sebab luekimia. Dah lama dia sakit, cuma dia tak tahu. Saya tak sampai hati nak bagitahu dia tentang sakintya tu. Tak sangka pulak penyakit dia jadi lebih teruk sampaikan saya tak sempat nak bagitahu dia," balas Mak Chik Hasnah sambil mengesatkan air matanya. Sudah lama air mata ini kering tetapi hari ini ianya mengalir kembali.

Datin Aqeela berasa sangat ralat kerna dia tidak sempat memohon maaf dari bekas menantunya itu. Dia beransur pergi dengan wajah yang sugul namun dia tetap mengharap Ziha dapat memaafkannya di Sana kelak.


Nur Naziha atau satu cahaya yang suci dari noda merupakan satu nama yang indah. Hidupnya tidak pernah menyusahkan orang lain malah selalu membahagiakan orang di sekelilingnya. Pemergiannya satu kehilangan besar dalam hidup Mak Chik Hasnah selepas kematian suaminya. Masih terngiang-ngiang akan gelak tawa dan senda guraunya di rumah. Semua memori indah ini akan terus terpahat di hati Mak Chik Hasnah walaupun apa yang terjadi ini bukan kehendaknya tapi dia akur dan terus tabah menghadapi segala dugaanNya.

No comments:

Post a Comment