TiMe ZoNe

25 January 2016

Air Mata Sofia


“Aku nak kahwin lain! Kau faham tak? Kau suka ke tak suka ke aku tetap nak kahwin dengan dia!”

Tengking Rizal kepadaku.
 Keadaan rumah di waktu senja yang tenang mula menjadi huru-hara dengan teriakan riuh seorang lelaki yang bergelar suami. Rasa luluh hati ini mendengar permintaan si suami yang selama ini aku anggap manisan dalam hidupku kini bertukar menjadi racun. Seorang lelaki yang amat aku cintai sepenuh hati memendam hasrat untuk berkahwin dengan wanita lain.

“MasyaAllah abang, bawa mengucap. Apakah kurangnya saya dalam hidup abang selama ni sampaikan abang sanggup kianati cinta kita?” Ujarku dengan tangisan air mata sedih yang mula mencurah-curah membasahi pipi.

“Kau tu mandul! Kau sedarlah diri sikit. Aku ni nak anak faham? Arghh..aku tak kira, kau suka atau tak aku tetap nak kahwin dengan dia. Sekarang aku nak kau sign borang ni paham!” Si suami terus berlalu pergi meninggalkan aku keseorangan di ruang tamu. Aku dapat rasakan dunia ini gelap ditambah dengan rasa sakit hati yang teramat sangat ibarat sedang ditusuk duri.

Kedengaran azan Isyak mula berkumandang di corong pembesar suara di surau berdekatan kawasan perumahan kami. Tanpa membuang masa, aku terus melangkah ke bilik air untuk mengambil wudhuk dan mengerjakan solat. Bagiku, dengan solat, hati ini akan menjadi lebih tenang dan tenteram dari segala kedukaan. Tangan ditadah memohon doa dari Illahi agar apa yang berlaku sebentar tadi berakhir dengan sesuatu yang baik namun apakan daya, sebagai insan yang lemah mampukah aku melawan takdirNya?

Setelah aku menunaikan solat, aku terus ke bilik tidur dan melabuhkan diri di atas katil. Aku langsung tiada selera untuk menjamah makanan yang dimasak olehku petang tadi. Si suami pula hilang entah ke mana, agaknya mungkin dia merajuk hati denganku kerana mempersoalkan keinginannya. Dengan hati yang lara, aku cuba melelapkan mata tapi tidak berdaya kerana telinga ini masih tengiang-ngiang akan permintaan suamiku tadi.

Laungan azan subuh menyedarkan aku dari lena. Lantas aku bangun untuk mengerjakan solat subuh. Selepas selesai solat, aku terus memandang ke arah katil namun si suami ternyata tiada di sisi.

“Abang tak balik rumah? Ke mana dia pergi?” Hati ini mula risau memikirkan ke mana perginya si suami yang dari malam tadi meninggalkan aku bersendirian di rumah. Walaupun hati ini sedang lara, aku tetap menjalani kehidupanku seperti biasa. Tanggungjawab seorang isteri masih ku galas kerna aku yakin bahawa syurga seorang isteri adalah di bawah telapak kaki suami. Aku terus menyiapkan sarapan pagi dengan harapan si suami akan pulang ke rumah untuk bersarapan. Kain baju telah ku cuci, rumah juga telah ku kemas agar nampak bersih dan teratur.

Sewaktu sedang merehatkan diri di ruang tamu, satu pesanan ringkas muncul di skrin telefon bimbitku, ternyata ia bukan dari seseorang yang aku kenali kerana hanya nombornya sahaja yang terpapar pada skrin telefon.

“Hye Sofia, I’m Marrisa, future wife Rizal. Can we meet later around 11 am at Old Town Cafe, Bangsar? I got something to discuss with you. See you there!!”

Alangkah terkejutnya aku membaca pesanan ringkas yang dikirimkan oleh seorang wanita yang bakal berkahwin dengan suamiku. Aku berbelah bahagi sama ada mahu berjumpa dengannya atau tidak. Namun aku merasakan ada sesuatu yang serius untuk dibincangkan.

“Assalammualaikaum Marrisa, I will meet you later. See you there ok.” Balas aku terhadap pesanan ringkas yang diterima tadi.

Tanpa melengahkan masa, aku terus mempersiapkan diri untuk pergi bertemu dengannya. Dalam pada masa yang sama, aku masih menunggu kepulangan Rizal. Tetapi malangnya aku langsung tidak melihat kelibatnya. Aku terus menghantar pesanan buat si suami untuk meminta izin keluar dari rumah bagi bertemu dengan Marissa, wanita yang bakal dikahwininya. Aku juga cuba menghubunginya tetapi masih tidak berjaya seolah-olah dia sengaja menutup telefon bimbitnya dan mendiamkan diri dari aku. Aku terus keluar dari rumah dan menuju ke kereta Perodua Myvi hasil pemberian suamiku sempena ulang tahun perkahwinan kami yang pertama dahulu.

Di dalam menelusuri kesesakan kota, aku terus mencari Old Town Cafe, Bangsar seperti yang dinyatakan oleh Marissa sebentar tadi. Setelah hampir setengah jam aku mencari akhirnya tiba juga aku di situ. Aku terus meletakkan Perodua Myviku di tempat letak kereta bersebelahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Bangsar. Aku terus menuju ke kafe tersebut dan terlihat seorang wanita berusia 30-an, berambut ikal mayang dan bergaya duduk di satu sudut di dalam kafe berkenaan. Aku yakin itu adalah Marrisa dan dialah wanita yang berjaya mencuri hati suamiku dan merancang untuk berkahwin dengannya.

“Assalammualaikum..awak Marissa?” tanya aku pada wanita berkenaan.

“Yes I am..opps waalaikumussalam. Please have a seat.” Ternyata tekaan aku tadi tepat. Aku terus duduk bertentangan dengannya dan memandang tepat ke arah wajahnya. Hati ini merasa geram yang teramat sangat tetapi aku tetap bersabar dan menunggu apa yang akan dibincangkan. Tiba-tiba dengan riak wajah yang agak berlagak, dia mula bersuara.

“So, have you signed the form?”, tanya Marissa kepadaku.

“Nope.” Ujarku sambil menggelengkan kepala.

“Ohh dear, just sign it. Please don’t delay our marriage. I love your husband so much and we’re getting married soon. Just sign the form and pass it to him. That’s it!” Ujar Marrisa dengan nada yang amat menyakitkan hati. Hati ini sakit rasanya seperti ditoreh-toreh dengan pisau tatkala mendengar kata-kata seorang perampas suami orang ini.

“Saya sangat cintakan suami saya dan saya takkan benarkan orang lain cuba merampas kebahagiaan kami. Faham!” Aku terus lantang bersuara kerana aku tidak tahan dengan sikapnya yang cuba memusnahkan kebahagiaan kami. Kemarahanku mula membuak-buak tapi dapat dikawal olehku dek kerna aku tidak suka mencari gaduh dengan sesiapa lagipun imej wanita bertudung sepertiku tidak manis untuk berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

“I don’t care! Whatever it is, I will marry him soon even you like it or not. Bye!” Lantas dia bangun dan meninggalkan aku tanpa rasa bersalah. Semua orang memerhatikan gelagat kami dan membuatku berasa sangat malu. Aku melangkah pergi dengan perasaan bercampur-baur diantara sedih dan sakit hati dengan tindakan Marissa tadi.
Aku terus memandu kereta untuk pulang ke rumah walaupun hati dan fikiranku tidak tenteram. Kebetulan pula lagu Suatu Pernah nyanyian Fynn Jamal berkumandang di corong radio dengan lirik yang membuatkan air mataku mengalir umpama air terjun yang mengalir deras.

…“Seperti tak pernah ku ada harga, seperti tak pernah kita bersama,
seperti tak pernah kau mahu aku, tak pernah rindu
tak pernah rayu..dulu”…

…”Terlebur hancur kebal rusukku, berkecai sepai, terpecah belah,
terima kasih atas ajarmu, cinta tak wujud
ah, tak pernah”…

Selepas menghayati bibit-bibit lirik lagu yang cukup mendalam ini, aku mula memikirkan sesuatu. Apakah aku gagal menjadi yang terbaik buatnya? Lima tahun kami hidup bersama dan mengapa baru sekarang dia mencari yang lain selepas aku gagal memberinya zuriat?

Sewaktu sedang memandu, tiba-tiba aku mula merasa tidak sedap badan, kepalaku berasa pening dan tekakku pula terasa mual. Aku terus mengubah perjalananku dan menuju ke sebuah klinik berdekatan. Pada mulanya aku ingatkan penyakit migrainku mula menyerang kembali tetapi ternyata anggapanku salah. Kuasa Illahi tiada siapa yang mampu melawanNya.

“Tahniah Puan, awak hamil dua bulan”, ujar Dr. Maryani, doktor yang merawatku. Aku berasa terkejut dan teruja dengan apa yang diungkapkan oleh Dr. Maryani sebentar tadi. Rasa sedih yang mula menghantui aku tadi semakin lama semakin hilang.

“Betul ke doktor? Doktor tak bergurau kan?” tanya aku untuk mendapatkan kepastian yang jelas.

“Ish kenapa pulak saya nak bergurau? Lepas ni awak kena jaga kandungan awak ni baik-baik sebab masih baru lagi. So, awak kena banyak berehat dan makan ubat ikut pada waktu yang ditetapkan ok?” pesan Dr. Maryani kepadaku. Aku menundukkan kepala tanda faham dengan pesanan doktor tadi.

Air mata keriangan mula mengalir di pipi kerana sudah lama aku menanti khabar gembira ini. Aku sudah tidak sabar lagi untuk pulang ke rumah dan menyampaikan berita gembira ini kepada suamiku dengan harapan dia membatalkan hasratnya untuk mengahwini Marissa.

Setibanya aku diperkarangan rumah, aku terlihat kereta milik Rizal berada di luar rumah. Lantas aku meletakkan kenderaan di garaj dan melulu masuk ke dalam rumah dengan perasaan tidak sabar lagi untuk menyampaikan perkhabaran gembira ini.

“You pergi mana?” tanya Rizal dengan penuh bengis.

“Sa..ya..jumpa..”

“Marissa?? Apa yang kau buat dengan dia? Kau pukul dia kan?”

“Panggg”..satu tamparan kuat seorang lelaki mula melekat dipipiku sehingga membuatkan aku rebah di atas lantai. Aku tidak menyangka Rizal sanggup memukulku dek kerana fitnah Marissa terhadapku.

“Saya tak buat apa-apa abang, percayalah saya tak pukul dia” balas aku terhadap pertanyaan Rizal tadi. Aku menangis sekuat hati menahan sakit yang teramat sangat akibat ditampar oleh Rizal.

“Arghh..kau ingat aku nak percaya cakap kau? Kalau kau tak suka dia jangan pernah kau sentuh dia. Kalau tak nahas kau aku kerjakan. Ambil borang ni dan sign sekarang juga!” Tegas Rizal dengan penuh bengis memaksaku menandatangani borang persetujuan agar dia dapat berkahwin dengan Marrisa.

Dek kerana aku tidak mahu terjadi apa-apa kepada kandunganku ini, aku terus menandatangani borang tersebut walaupun jauh di sudut hati aku sedih dengan tindakan Rizal dan tidak bersetuju dengan permintaannya. Rizal terus mengemaskan pakaiannya dan terus keluar daripada rumah. Aku cuba merayu dan menghalangnya pergi tapi apakan daya kudratku sebagai seorang wanita yang lemah tidak dapat menandingi kuatnya kudrat seorang lelaki.

“Abang, Sofia tengah hamil anak sulung kita”, tangisku di dalam hati kerana Rizal pergi tanpa dia mengetahui yang aku sedang berbadan dua. Aku tidak tahu bagaimana lagi untuk aku teruskan hidup tanpa suami di sisi.

Kini lima bulan sudah berlalu, Rizal lansung tidak menghubungiku selepas dia pergi meninggalkan rumah. Kandunganku pula semakin hari semakin membesar. Walau apa pun yang berlaku, aku tetap meneruskan kehidupan seperti biasa. Aku mahu zuriat yang aku kandung ini sentiasa sihat dan sempurna. Aku sekarang tinggal di kampung bersama ibu dan bapaku. Pada mulanya mereka terkejut dengan apa yang berlaku tetapi sekarang mereka mula faham dan banyak mengambil berat tentang diriku.

“Sofia, Rizal tak telefon kamu ke?” Aku terkejut dengan pertanyaan ibu yang tiba-tiba mula bertanyakan tentang menantunya itu.

“Tak ada pun ibu, biarlah mungkin dia tengah bahagia dengan isteri baru dia”, ujar aku dengan penuh pasrah. Walaupun jauh di sudut hati aku amat merindui Rizal, bapa kepada anak yang sedang aku kandung ini.

Selepas bersarapan, aku terus menuju ke ruang tamu untuk membaca surat khabar. Sudah menjadi rutin harianku membaca surat khabar di awal pagi untuk mengetahui isu-isu semasa. Aku terus mencapai akhbar Harian Metro di atas meja yang dibeli oleh ayah sebentar tadi untuk dibaca. Sedang leka membaca artikel yang ditulis oleh wartawan Harian Metro ini tiba-tiba perhatianku beralih kepada satu artikel mengenai kemalangan jiwa.

“Lelaki Koma Selepas Terjatuh Gaung”

“Astagfirullahalazim..abang koma?” Ternyata lelaki yang koma tersebut adalah Rizal, suamiku. Aku terkejut membaca artikel tersebut dan hati ini berdegup kencang umpama jantung ini hampir luruh. Air mata yang sudah lama kering ini dengan tiba-tiba mengalir laju membasahi pipi ibarat air terjun yang sedang mengalir deras.


“Ibu, ayah..cepat datang sini” Jeritku sekuat hati memanggil ibu dan ayahku untuk aku sampaikan berita sedih ini. Aku mahu mereka tahu yang menantu mereka mendapat kecelakaan dan berada dalam keadaan koma. Sebagai seorang isteri aku harus berada di samping suamiku walau sejahat mana pun dia, dia tetap suami dan ayah kepada anak yang aku kandung ini.

“Kenapa Sofia..apa yang dah jadi?”, tanya ibu dengan penuh rasa resah kepadaku.

“Ibu, abang Rizal ibu…dia kemalangan, sekarang dia tengah koma ibu. Sofia nak tengok dia ibu, Sofia nak jaga dia.” Jawab aku kepada pertanyaan ibu. Air mata ini tidak henti-henti mengalir tatkala aku cuba menyampaikan berita kemalangan ini kepada ibu.

“Sofia..sudahlah janganlah menangis lagi, kesian anak dalam kandungan kamu tuh. Nanti kita pergi melawat Rizal di hospital ya”. Kata-kata ibu sedikit sebanyak membuat diriku berasa tenang walaupun kerisauan masih lagi berlegar-legar di dalam hati.

“Baiklah ibu, esok kita pergi tengok abang Rizal ya ibu. Tolonglah ibu,Sofia nak jaga abg Rizal”, rintih hati seorang anak kepada ibunya. Aku tahu ibuku berasa sangat berat untuk pergi ke sana kerna dia masih marah dengan perbuatan Rizal terhadapku sebelum ini.
“Yer lah Sofia, ibu faham..dah kamu pergilah berehat ya”, ujar ibu kepadaku.

Aku terus masuk ke dalam bilik dan melabuhkan diri di atas katil untuk berehat. Aku cuba untuk menenangkan diri walaupun aku tidak tahu bagaimana keadaan Rizal ketika ini. Aku cuba untuk menghubungi telefon bimbitnya tapi ternyata tidak berjaya. Aku hanya mampu berdoa agar Rizal cepat sembuh dan sedar dari koma.

Keesokan harinya, kami sekeluarga terus bergegas ke Hospital Besar Ipoh, tempat di mana Rizal sedang dirawat. Perjalanan yang mengambil masa selama 3 jam ini membuatkan aku menjadi tidak keruan dan berasa amat letih. Mana nak pikir keadaan suami lagi, mana nak jaga anak dalam kandungan ni lagi. Aku tahu diriku sedang diuji, aku hanya mampu bersabar dengan takdir Illahi ini.

Setibanya kami di sana, aku terus ke kaunter pertanyaan dan bertanyakan di mana tempat Rizal dirawat. Ternyata Rizal masih lagi dirawat di dalam ICU dan masih lagi berada dalam keadaan koma. Aku meminta izin untuk melihat Rizal di dalam ICU tetapi dihalang oleh doktor disebabkan aku berbadan dua. Doktor tidak mahu apa-apa terjadi kepada kandunganku ini dan tidak mengizinkan aku berada di dalam ICU. Aku hanya mampu melihat Rizal dari jauh melalui cermin lutsinar pada pintu ICU tersebut. Aku dapat merasakan betapa siksa dan sakitnya Rizal ketika ini.

Oleh kerana aku tidak dapat menatap wajah Rizal secara dekat, aku mengambil keputusan untuk melawat Rizal setiap hari di hospital ini supaya aku tahu keadaannya di sini. Kebetulan kami mempunyai saudara-mara yang menetap di Ipoh ini, Kami meminta izin untuk tinggal di rumah mereka buat sementara waktu agar aku dapat menemani Rizal di hospital. Setiap hari aku berulang alik ke hospital untuk mengetahui perkembangan Rizal. Aku juga tidak putus-putus berdoa agar Rizal sembuh seperti sediakala. Aku mahu dia tahu yang aku sedang hamilkan anak sulung kami.

Hampir seminggu aku berada di hospital ini. Aku tertanya-tanya juga di manakah Marissa? Sepanjang aku berada di hospital, aku tidak pernah melihat kelibat beliau di sini.

“Nurse, ada tak sorang perempuan datang sini untuk jumpa Rizal?” tanya aku kepada seorang Jururawat yang sedang bertugas ketika ini.

“Setahu saya tak ada. Awak jer yang saya nampak kat sini setiap hari”, ujar Jururawat tersebut kepadaku.

“Kemanakah perginya Marrisa? Sepatutnya dia datang ke hospital dan menjaga Rizal tapi sepanjang aku berada di sini batang hidung dia pun aku tak pernah nampak.” Bisik aku di dalam hati.
“Puan Sofia!”
“Ya saya! Aku menyahut laju tatkala mendengar namaku dipanggil jururawat tadi.

“Puan, suami puan sekarang berada dalam keadaan stabil. Kami akan pindahkan dia ke wad biasa” ujar Jururawat kepadaku. Aku hanya mengangguk setuju asalkan suami aku dijaga dengan rapi. Elok juga dia dipindahkan ke wad biasa sebab aku boleh jaga dia sepanjang dia dirawat di hospital ini.

Aku terus mencapai telefon bimbitku dan terus menghubungi ibu untuk memberitahu keadaan terkini Rizal kepada mereka. Aku mahu mereka tahu yang menantu mereka sudah berada dalam keadaan stabil dan aku boleh menjaganya sepanjang dia dirawat di sini.

“Assalammuaikum ibu, Sofia ni..ibu buat apa apa tuh?

“Waalaikumussalam..ibu tak buat apa-apa pon, saja berbual kosong dengan Mak Uteh kamu ni. Kenapa Sofia?”, tanya ibu kepadaku.

“Oh yeke..Sofia cuma nak beritahu ibu yang Rizal sekarang dah stabil. Doktor dah pindahkan dia ke wad biasa. Sofia ingat nak jaga Rizal kat sini, nanti ibu suruh ayah hantarkan pakaian Sofia yer.”

“Yeke? Alhamdulillah..baiklah nanti ibu pesan pada ayah kamu ya. Kalau ada apa-apa nanti Sofia telefon ibu ye.”

“InsyaAllah ibu, terima kasih ya ibu. Assalammualaikum.”

“Waalaikummussalam” jawab ibu sebelum aku mematikan perbualan kami. Aku masih lagi menunggu panggilan dari jururawat tadi untuk aku ketahui di mana wad suamiku dirawat. Aku sudah tidak sabar lagi untuk menatap wajah Rizal. Lima bulan adalah terlalu lama bagi aku memendam rindu seorang isteri pada lelaki yang bergelar suami. Walaupun kami tidak pernah bertegur sapa tetapi rasa rinduku terhadapnya tetap menebal.

“Puan Sofia..boleh ikut saya sekarang? Saya nak tunjukkan bilik rawatan suami puan.”

“Boleh Nurse..jom..” jawabku dengan perasaan tidak sabar lagi.

Setibanya aku di dalam sebuah bilik, aku terlihat seorang lelaki sedang terbaring di atas katil sambil dilengkapi dengan bantuan alat pernafasan. Setelah ku amati, dia ternyata Rizal, suamiku. Air mata terus mengalir melihat keadaan suamiku yang sangat menyedihkan. Aku terus menatap wajah Rizal tanpa mengelipkan mata kerana rinduku yang teramat sangat. Aku berharap Rizal dapat bangun dan memelukku.

Hampir seminggu aku berada di wad ini menemani Rizal, aku masih mengharap agar dia cepat sedar dari koma dan sihat seperti biasa. Ketika mataku sedang asyik merenung wajahnya, kelihatan bibirnya mula bergerak seolah-olah ingin bersuara, jemarinya pula digerakkan seolah-olah ingin mencapai sesuatu. Lantas aku memanggil doktor untuk memeriksa keadaan Rizal.

“Doktor..doktor! suami saya doktor, saya rasa dia dah nak mula sedar”, jeritku memanggil doktor di luar bilik.

Doktor terus melulu masuk ke dalam bilik dan memeriksa keadaan Rizal. Rizal mula menunjukkan reaksi positif dan mula bersuara. Alhamdulillah, ternyata doaku dimakbulkan Allah S.W.T. Aku mula menghampiri Rizal kerna aku amat rindukan dia. Aku mahu dia menatap wajah aku sepuas hati dan melihat akan diriku yang sedang berbadan dua ini.

“Abang, sayang minta maaf sebab lama mendiamkan diri dari abang. Sayang sangat rindukan abang, ujarku sambil menitiskan air mata tanda kerinduan si isteri terhadap suaminya.

“Sayang, abang yang sepatutnya minta maaf dari sayang. Abang yang jahat dengan sayang selama ni. Abang cuba cari sayang tapi abang tak jumpa. Maafkan abang sayang,” rintih Rizal yang mula sedar akan kesilapannya dulu.

“Sayang dah lama maafkan abang, walaupun kita tak pernah bertegur sapa, tapi sayang ada anak kita yang sentiasa menemani sayang. Kalau abang nak tahu, sayang tengah hamil anak sulung kita. Sayang cuba nak bagitahu abang, tapi masa tu abang tengah marah”, ujarku kepada Rizal sambil aku mengusap-usap perut.

“Ye ke sayang? Alhamdulillah..abang minta maaf atas apa yang berlaku dulu. Abang banyak buat silap dengan sayang, abang gagal jadi suami sayang.” Balas Rizal dengan nada yang kesal.

“Sudahlah abang yang lepas tuh biarlah lepas, janganlah kita nak ingat lagi. Yang penting sekarang kita mulakan hidup baru dengan baby kita yer.” ujar aku sambil memegang erat tangan seorang suami yang sudah lama ku tunggu saat ini. Ternyata segala kedukaan selama ini hilang begitu saja di saat aku menatapi wajah si suami yang mula tersenyum riang.

Aku tahu bukan niat Rizal untuk melakukan kesilapan, Manusia masakan ada yang sempurna. Biarlah air mata yang mengalir ini menghapus duka lalu dan biarkan senyuman ini terus terukir di bibir membawa kemanisan dalam percintaan kami berdua. Buat selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment